Tarian Kuda Kepang
Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.
Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.
Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.
Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.
0 komentar:
Posting Komentar